Friday 9 September 2011

PENGENALAN KEPADA ISU PENCEMARAN

Jika kita lihat tajuk perbincangan ini, ianya merupakan satu tajuk yang meluas dan banyak aspek boleh dibincangkan . Tetapi jika kita renung dan teliti dengan sedalam-dalamnya maka kita dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah pada perkataan "MEMERLUKAN PENELITIAN BERSAMA'. Berdasarkan kepada isu yang hendak dibincangkan 'memerlukan penelitian bersama' membawa maksud bahawa , isu pencemaran yang merupakan isu global ini perlu dibincangkan, difikirkan dan ditangani bersama-sama di peringkat antarabangsa . Ini adalah kerana masalah pencemaran yang berlaku di seluruh dunia ini pernah, sedang dan akan dialami oleh semua negara . Jadi langkah-langkah bijak perlu dirancangkan bagi mengatasi masalah ini .


Bagaimanakah cara kita hendak menyelesaikan masalah di atas ? Cara kita menjawab atau menyelesaikannya adalah bergantung kepada persepsi kita sendiri terhadap alam sekitar . Ia juga mendedahkan cara hidup kita; adakah cara hidup kita dapat membantu memulihara alam sekitar atau sebaliknya ?


Jika kita meniliti punca-punca masalah alam sekitar, kita mendapati bahawa kebanyakannya disebabkan oleh permintaan manusia terhadap hasil keluaran industri . Ini membawa kepada masalah tekanan terhadap keupayaan bumi membekalkan ruang dan sumber untuk permintaan ini .

Tekanan terhadap alam sekitar terdiri daripada dua bentuk .
  • Pertamanya tekanan daripada permintaan terhadap sumber asli seperti bahan api, air dan juga tanah .
  • Keduanya, ialah sisa industri yang mencemarkan udara dan persekitaran .
Ini menyebabkan berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, permusnahan ozon dan hujan asid .
Bila kita fikirkan mengenai pencemaran secara global ini, rasanya terlalu sukar untuk seseorang individu itu memperbaiki keadaan . Kita mungkin tertanya-tanya, apakah tindakan seorang individu itu berupaya untuk memberikan apa-apa kesan ? Namun begitu, kita harus sedar bahawa pencemaran yang serius beginilah sebenarnya berpunca daripada tindakan individu juga . Oleh yang demikian, tindakan individu jugalah yang dapat membantu menyelamatkan bumi kita ini .


DEFINISI



Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengatakan bahawa pencemaran adalah suatu perbuatan yang mencemarkan (mengotorkan) - pengotoran alam - perbuatan mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan sampah sarap .



JENIS-JENIS PENCEMARAN

Terdapat pelbagai cara pencemaran ini boleh berlaku . Tetapi ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu :
  • Pencemaran yang disebabkan oleh faktor Semulajadi


Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi adalah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya .

  • Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia .

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia adalah pencemaran yang dilakukan oleh manusia samada sengaja atau tidak disengajakan . Antaranya adalah:

a. Pencemaran Udara


Contohnya, gas-gas beracun, zarah-zarah yang terperangkap hasil dari asap kenderaan, jerebu dari kesan pembakaran secara terbuka dan sebagainya .

b . Pencemaran Air


Contohnya, pembuangan air kumbahan, sisa-sisa kimia, haba, pembuangan sampah dan sebagainya .

c . Pencemaran Tanah

Contohnya, pemusnahan hutan akibat pembalakan, pembuangan sisa-sisa kimia dan sisa-sisa pepejal .


Dalam post yang seterusnya, kita akan membincangkan tentang KESAN PENCEMARAN. Okay, gua dah kasi sengat, gua sudah penat.. jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment